Sat05252013

Last update07:57:37 PM GMT

Health

Panduan Permohonan Melanjutkan Pengajian (Pengajian Islam) Di Institusi Pengajian Tinggi di Mesir

Memandangkan ramai kalangan pelajar-pelajar Malaysia khususnya  pelajar lepasan STAM yang masih kabur tentang permohonan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pengajian Islam  di Timur Tengah khususnya di Mesir .Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengambil inisiatif  memberikan sedikit panduan sebagai satu pencerahan bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran di sini.

Pemohon yang ingin mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir peringkat ijazah pertama hendaklah memenuhi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia seperti berikut:

  1. Mempunyai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya pangkat MAQBUL dengan syarat sijil STAM tidak melebihi 3 tahun
  2. Lulus Imtihan Qabul (IQ)
  3. Pengajian Qiraat Mempunyai Diploma Qiraat dengan syarat sijil / diploma tidak melebihi 3 tahun

 

PERMOHONAN

Permohonan perlu dibuat dengan mengisi borang pemohonan yang boleh didapati di laman web Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) :

1) http://jpt.mohe.gov.my/PELAJAR/panduan%20ke%20luar%20negara.php

2) http://eputra.com/permohonan-pengajian-di-universiti-di-timur-tengah-sesi-2013-2014/  .

Semua pemohon yang memenuhi syarat perlu menghadiri Program Transformasi Mahasiswa ke Luar Negara anjuran KPT yang akan dikendalikan oleh Biro TatanegaraBorang permohonan serta dokumen sokongan yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pengajian Tinggi di alamat berikut;


Pengarah Bahagian Education Malaysia 
Jabatan Pengajian Tinggi 
Kementerian Pengajian Tinggi 
Aras 4 No 2, Menara 2, 
Jalan P5/6, Presint
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 
62200 PUTRAJAYA

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-8870 6611/6631/6627.

 

TARIKH TUTUP

Permohonan untuk mengikuti pengajian di universiti di Timur Tengah bagi sesi 2013/2014 ini ditutup pada 31 Mei 2013.

Semoga dengan sedikit panduan pencerahan daripada pihak kami ini dapat membantu mereka yang berkeinginan untuk melanjutkan pengajian di bumi Anbiya ini.

 

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

Ahmad Shahrir Bin Alias

Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa

Persekutuan Melayu Repulik Arab Mesir (PMRAM) 2013

PMRAM Mengutuk Sekeras-kerasnya Usaha Membangkitkan Sentimen Isu Perkauman

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas menyaksikan gelombang kebangkitan rakyat begitu menjadi-jadi. Ini jelas terbukti apabila sokongan rakyat kepada parti pemerintah kerajaan, Barisan Nasional (BN) semakin berkurangan. Bahkan parti pemerintah itu, gagal mendapat sokongan majoriti rakyat sebaliknya kerajaan yang dibentuk hanyalah berdasarkan kepada majoriti mudah yang dimenangi parti Barisan Nasional di kerusi Parlimen negara.

Kebangkitan rakyat yang ditunjukkan ketika PRU kali ini adalah berpunca daripada ketidakyakinan rakyat terhadap parti pemerintah yang kerap disabitkan dengan pelbagai kesalahan seperti keborosan dalam perbelanjaan negara, isu rasuah, politik wang, kroni dan sebagainya yang masih gagal dijelaskan kepada rakyat berkaitan permasalahan tersebut.
 
Analisis keputusan penuh PRU 13 yang lepas menyaksikan golongan masyarakat Cina antara kaum yang tertinggi bangkit menolak parti Barisan Nasional. Hasil kajian mendapati hampir 90% masyarakat Cina mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum yang lepas. Ini menguatkan lagi hujah bahawa Barisan Nasional semakin tidak diterima oleh masyarakat Malaysia yang telah memerintah negara hampir 56 tahun.
 
Melihat kepada kebangkitan rakyat ini, pelbagai isu telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya membabitkan sentimen perkauman yang bukan sahaja boleh menimbulkan kemarahan rakyat bahkan menjadi api yang boleh mencetuskan huru-hara serta merosakkan keharmonian hidup masyarakat berlainan bangsa dan agama di negara Malaysia.
 
Apa yang mendukacitakan kita adalah sentimen perkauman itu telah dimainkan sendiri oleh akhabar Utusan Malaysia yang menjadi lidah rasmi penyampaian segala maklumat negara Malaysia. Tajuk utama akhbar Utusan Malaysia " Apa lagi Cina Mahu ?" yang bertarikh 6 Mei 2013, sesungguhnya telah menimbulkan polemik yang kurang enak bukan sahaja kepada kaum Cina bahkan kepada seluruh masyarakat yang cintakan keamanan.
 
Bukan itu saja, bahkan isu ini semakin merebak apabila ada dikalangan Yang Berhormat (YB) dan wakil rakyat turut menyalakan lagi sentimen ini dalam ucapan dan temubual mereka secara umum yang tersebar luas di media masa sekarang ini lebih-lebih lagi facebook yang merupakan media alternatif yang paling berpengaruh kepada seluruh masyarakat Malaysia sejak akhir-akhir ini.
 
Justeru, kami sebagai anak Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang tidak bermoral ini dan mengharapkan agar akhbar Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Malaysia. Tindakan seumpama ini bukan pertama kali berlaku bahkan sudah berulang kali berlaku sebelum daripada ini yang boleh menjejaskan ketenteraman negara kita. Kita tidak mahu peristiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969 berulang sekali lagi akibat daripada tindakan kita yang tidak matang dalam berhadapan dengan politik tanah air.
 
PMRAM mengharapkan agar isu politik tanah air diselesaikan dengan cara yang terbaik dan matang, bukan dengan sikap dan tindakan yang boleh menimbulkan provokasi kepada masyarkat yang seterusnya memberikan impak buruk yang lebih besar terhadap keamanan negara. Kami juga mengharapkan pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak supaya mengambil tindakan drastik terhadap isu ini dan menguatkuasakan dengan lebih tegas Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957 demi keharmonian negara kita.
 
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"
 
Abdul Aziz Bin Ali
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013

Tadbir Negara Dengan Penuh Amanah & Tanggungjawab

Proses Pilihan Raya Umum kali ke - 13 telah melabuhkan tirainya semalam pada 5 Mei 2013. Pilihan Raya Umum semalam menyaksikan antara PRU yang paling sengit dicatatkan dalam sejarah negara hasil daripada pertembungan menarik antara parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkangPakatan Rakyat (PR). Hasil pungutan suara melalui pilihan raya semalam mendapati parti Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kemenangan walaupun timbul persepsi negatif rakyat terhadap ketelusan Suruhan jaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya kali ini.

Adapun begitu SPR telah mengumumkan secara rasminya kemenangan berpihak kepada BN. Ini bermakna BN sekali lagi diberi mandat untuk terus memimpin dan mentadbir Malaysia untuk tempoh sepenggal lagi. Apa yang diharapkan tanggungjawab memimpin sebuah kerajaan ini adalah merupakan satu amanah yang cukup besar. Kepimpinan yang sebenar dalam Islam adalah membawa masyarakat ke arah lebih dekat kepada Allah SWT melalui perlaksanaan syariatnya yang bertepatan dengan apa yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.
 
Hari ini Malaysia melangkah ke satu zaman yang baru. Zaman yang seluruh rakyat dan masyarakat Malaysia mendambakan serta mengimpikan sebuah sistem pentadbiran yang telus, adil dan amanah. Cukuplah sepanjang tempoh 55 tahun pemerintahan sebelum ini kita disajikan dengan pelbagai kes yang sungguh mendukacitakan dan keharmonian dalam negara yang kurang memuaskan.
 
Banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pemerintah dan kerajaan yang telah diberi mandat dalam PRU 13 ini untuk mempertingkatkan kredibiliti sebagai sebuah kerajaan dan memperbaiki semula sistem pentadbiran negara yang agak rosak agar ianya diterima oleh seluruh rakyat. Selain itu juga, sekiranya perkara tersebut tidak berlaku, gelombang kebangkitan dan perubahan yang melanda rakyat negara kita hari ini, saya yakin akan terus memuncak lebih daripada apa yang berlaku hari ini.
 
Sebagai rakyat Malaysia kita mengimpikan sebuah kehidupan yang haromi, aman dan tenteram serta bebas daripada sebarang perkara yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup bermasyarakat seperti rompak, ragut, bunuh, rasuah, samseng, sogok wang dan macam-macam lagi kerosakan serta keburukan yang berlaku dalam negara kita hari ini.
 
Justeru, sebuah kerajaan yang baik adalah pemimpinnya sentiasa berusaha semaksima mungkin untuk mentadbir negara dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras dan sumber rujukan serta panduan asas dalam pemerintahan negara, berusaha memberi kebajikan kepada seluruh rakyat secara adil, tidak melebihkan mana-mana pihak, individu-individu tertentu ataupun kroni, memberi hak dan ruang yang sepatutnya kepada rakyat untuk bersuara. Disamping itu juga menyatakan pendirian mereka serta memastikan keamanan negara terus terjamin lebih-lebih lagi Malaysia sebuah negara yag terdiri daripda pelbagai agama dan bangsa.
 
Oleh yang demikian, sebagai anak muda yang mewakili mahasiswa dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir ini, saya mengharapkan agar kerajaan yang memerintah, melaksanakan segala manifesto dan janji-janji PRU 13 ini secara keseluruhannya sepanjang sepenggal pemerintahan ini demi kebaikan rakyat bukan semata-mata untuk meraih sokongan dan undi menjelang pilihanraya sahaja. Mudah-mudahan masyarakat dapat menilai dan mengukur prestasi kerajaan pemerintah agar terus cemerlang sebagaimana yang dijanjikan.
 
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"
 
Abdul Aziz Bin Ali
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013.

Malam Munajat Keamanan Negara Semperna PRU 13 Mendapat Sambutan Luar Jangkaan

KAHERAH, 4 Mei 2013 - Bahang pilihanraya turut dirasai di Perlembahan Nil walaupun rata-rata mahasiswa dan mahasiswi di sini diambang peperiksaan semester dua.  Meskipun sibuk membuat persiapan sempena peperiksaan, mahasiswa-mahasiswi samada pengajian Islam mahupun pengajian sains kesihatan telah menunjukkan kebersamaan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 melalui program Malam Munajat Keamanan Negara PRU-13 bagi memohon pertolongan kepada Allah agar PRU 13 berjalan lancar.

Program yang dianjurkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013 ini berlangsung di Dataran Kompleks Hayyu Asyir, Kaherah
 
Dianggarkan hampir 2000 orang yang terdiri daripada mahasiswa pengajian Islam dan sains kesihatan mengambil bahagian dalam program tersebut. Rentetan daripada jumlah kehadiran, pihak penganjur menyifatkan bahawa program 'Malam Munajat Keamanan Negara' menerima sambutan di luar jangkaan. Secara tidak langsung membuktikan bahawa golongan mahasiswa tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan sentiasa mengharapkan keharmonian dan kesejahteraan negara.
 
Program bermula dengan solat maghrib  dan solat sunat taubat secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Basri Abdul Rashid mahasiswa Takhasus Qiraat, Shoubra.
 
Malam Munajat Keamanan Negara sempena PRU 13 ini turut diisi dengan bacaan Hadis Sohih Bukhari dan sedikit penerangan tentang kelebihan pembacaan Hadis Sohih Bukhari yang disampaikan oleh Saudara Mohd Nazrul Abdul Nasir Mantan Badan Pengurus PMRAM sebelum berlangsungnya bacaan Hadis Sohih Bukhari.
 
Sejurus bacaan Hadis Sohih Bukhari selesai dikhatamkan, hadirin menunaikan solat fardhu Isya', solat sunat hajat serta doa munajat khusus untuk keamanan negara Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013.
 
Sebelum majlis berakhir, Presiden Persekutuan Republik Arab Mesir 2013, saudaraAbdul Aziz bin Ali telah menyampaikan sedikit ucapan sempena PRU 13 kepada hadirin yang hadir. Di dalam ucapanbeliau menyeru mahasiswa-mahasiswi samada pengajian Islam mahupun sains kesihatan agar cakna mengenai perkembangan isu semasa di Malaysia meskipun berada di perantauan.
 
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Mahasiswa Mahu SPR Kendalikan Pilihan Raya Telus, Jujur Dan Adil

Pada tempoh menuju tarikh Pilihan Raya Umum ke 13, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh parti yang bertanding yang mempertikai ketulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  mengendalikan Pilihan Raya Umum ke 13. Antaranya, undian pos yang disimpan tempoh yang lama di dalam balai polis tanpa pengawasan daripada wakil parti, isu dakwat yang tidak kekal, pengulangan nama yang sama di sebahagian kawasan, undian luar negara yang dimanipulasi dan pelbagai isu yang lain. Ini jelas akan menjatuhkan imej badan dan hilang kepercayaan rakyat kepada SPR hinggakan ada yang enggan keluar untuk mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebuah badan yang telah diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengendalikan Pilihan Raya seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian VIII Perkara 114 (1) :
 
Perkara 114. Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya.
 
(1) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.
 
Berdasarkan item perlembagan tersebut jelas bahawa SPR tidak menyebelahi mana-mana parti politik atau cenderung kepada mana-mana calon yang bertanding.
 
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mewakili suara warga Malaysia di Mesir mendesak supaya SPR mengendalikan Pilihan Raya Umum ke 13 dengan telus, jujur dan adil tanpa cenderung kepada mana-mana parti yang bertanding.
 
Dengan mengendalikan PRU lebih telus,jujur dan adil, ia dapat memuaskan kesemua pihak khususnya parti yang bertanding.
 
Sekali lagi, pihak PMRAM mengharapkan ketelusan daripada SPR dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya demi mewujudkan negara  Malaysia yang harmoni dan disanjung tinggi seantero dunia.
 
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"
 
 
Abdul Aziz bin Ali
 
Presiden
 
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013

Al-Wadi dan As-Sohwah PMRAM Mencari Bakat Baru Penerus Seni Dakwah Islam

KAHERAH, 28 April 2013Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir dibawah Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan PMRAM 2013 serta Unit Kebudayaan, Kesenian dan Kemasyarakatan HEWI PMRAM 2013 telah menganjur uji bakat bagi mencari anggota Al-Wadi dan As-Sohwah yang baru.

Ujibakat tersebut berlangsung di Kompleks Rumah Terengganu, Hayyu Asyir bagi Ikhwah manakala akhawat di Kompleks Rumah Selangor, Hayyu Asyir. Ujibakat yang berlangsung pada jam 9 pagi itu dihadiri seramai 31 orang kesemuanya yang terdiri daripada 17 orang bagi ikhwah (Al-Wadi) dan 14 orang bagi Akhawat (As-Sohwah). Disebelah ikhwah ujibakat suara sahaja yang perdengarkan manakala disebelah akhawat ujibakat bertujuan mencari pelapis suara dan pemain perkusi.

Ujibakat dijurikan oleh wakil kumpulan Al-Wadi dan As-sohwah sendiriAlhamdulillah, ujibakat berjalan dengan lancar dari mula hingga akhirnya.

Pihak PMRAM umumnya dan pihak Al-Wadi dan As-sohwah khususnya mengharapkan generasi yang akan datang dapat memberi komitmen yang sepenuhnya dan dalam masa yang sama dapat meneruskan agenda dakwah bertepatan dengan pembawakan PMRAM

" Hendaklah kita fahami dan yakini bahawa kesenian suara atau nasyid ini adalah salah satu wasilah daripada wasilah-wasilah dakwah. Dan ia mampu mengubat hati-hati melalui nyanyian yang berlandaskan Quran dan Sunnah." ujar Saudara Ahmad Anas Che Yusof selaku Ketua Badan Kebudayaan,Kesenian dan Sukan PMRAM 2013 

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Pengumuman Tarikh Muzakarah Berkelompok Amali Peringkat PMRAM 2013

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAMadalah persatuan yang menitik beratkan agenda pentarbiahan dalam kehidupan seharian mahasiswa Islam. Penerapan unsur tarbiah adalah sangat penting bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan sahsiah

Justerukesinambungan agenda pentarbiahan ini telah disusun dengan penuh sistematik dalam pelbagai bentuk aktiviti yang dijalankan, khususnya aktiviti mingguan setiap hari Jumaat iaitu perlaksanaan muzakarah berkelompok di setiap peringkat.

Muzakarah Berkelompok Amali di peringkat PMRAM akan dijalankan bermula pada 12 April 2013 bersamaan hari Jumaat. Ini disebabkan tarikh peperiksaan semester kedua Universiti Al-Azhar di seluruh cawangan yang dijangka akan bermula akhir bulan Mei ini.

Perlaksanaan Muzakarah Berkelompok di setiap peringkat tetap diteruskan.Diingatkan kepada semua fasilitator di peringkat PMRAM Cawangan agar cakna dalam  melaksanakan muzakarah berkelompok walaupun berada dalam fatrah peperiksaan.

 

“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

 

Ahmad Bin Ja’afar

Naib Presiden 1

Ketua Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013

Jangan Halang Mahasiswa Bersuara

PMRAM memandang serius dan kesal dengan tindakan yang telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Malaysia. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk melontarkan pandangan dan kritikan semata-mata untuk kebaikan bersama.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat ke-110 yang bermaksud :

Jadilah kamu umat yang terbaik yang dikeluarkan oleh manusia, menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah perkara yang mungkar, serta beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakkan mereka adalah orang yang fasik

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia sebaliknya. Baru-baru ini mahasiswa ditangkap disebabkan kelantangan mereka bersuara sehingga mencetuskan demontrasi jalanan.

Apabila diimbas semula, demontrasi tersebut berlaku atas tindakan pihak tertentu yang menyekat suara mereka untuk terus didengari.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 terus menjadi akta penting dalam mengongkong mahasiswa-mahasiswi di Malaysia.

Sewajarnya pihak berkenaan perlu menilai suara hati generasi mahasiswa dan pandangan mereka, kerana merekalah sebenarnya yang sangat terkesan dengan isu-isu sekeliling dan permasalah ekonomi yang dialami oleh mereka pada masa kini dan akan datang.

Mahasiswa merupakan aspek penting dalam pembentukan arus perdana sesebuah negara. Selain itu, mahasiswa juga tunjang utama dalam memperanankan fungsi yang diceburi demi memajukan struktur pembangunan rohani dan jasmani rakyat Malaysia sejajar dengan peredaran zaman.

Mahasiswa mestilah memahami perjalanan mereka masih panjang. Bekalkan ilmu dan pengalaman untuk terus memacu kesatuan dan menaikkan panji Islam khususnya didalam sanubari mahasiswa itu sendiri.

PMRAM sekali lagi merasa kecewa dengan tindakan yang telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap mahasiswa kita di Malaysia.

Semoga dengan ujian yang diterima ini, mahasiswa terus bangkit menyuarakan pendapat dan kritikan untuk kebaikan bersama.

 

MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN

 

Abdul Aziz bin Ali

Presiden

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2

28 April 1992 : Maruah Kita Pernah Dicabar

Kehangatan PRU-13 kini melanda hampir seluruh warganegara Malaysia sama ada di tanah air mahupun luar negara .

Landskap politik kali ini seakan-akan bakal memecah tradisi generasi akan datang dalam memastikan halatuju negara terjamin daripada pelbagai aspek seperti moral, kredibiliti pentadbiran , integriti masyarakat dan seumpamanya.
 
Rakyat bangkit untuk menyuarakan hak mereka agar dapat didengari oleh semua pihak . Hal sedemikian juga yang diharapkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir PMRAM apabila setelah sekian lama memperjuangkan haknya di ARMA.
 
Tarikh 28 April menjadi sejarah yang tidak mungkin pudar dalam memori pendokong kesatuan agung ini yang sudah lama berpencak di arena dunia mahasiswa.
 
Pejabat PMRAM telah dipalang setelah menerima notis tanpa diadakan perbincangan bersama PMRAM lantas dikenakan tindakan yang mencabar kredibiliti PMRAM ketika itu.
 
Biarpun masih ada yang beranggapan bahawa harapan PMRAM untuk mendapatkan haknya di ARMA hanya impian kosong namun PMRAM terus komited dalam pelbagai cara dan usaha untuk merealisasikan impian tersebut.
 
Pendokong PMRAM perlu memahami perjuangan ini bukan kerana kita hanya sekadar bermimpi di siang hari namun sebaliknya usaha generasi terdahulu dalam mendapatkan ARMA tidak ternilai segala pengorbanan mereka .
 
Sudah pasti ,usaha gigih mereka sehingga mampu dibina sebuah asrama yang mampu memberikan keselesaan kepada anak  Melayu yang berkelana di kota seribu menara ini untuk menuntut ilmu sebagai bekalan dicurahkan kepada masyarakat.
 
Satu ketika dahulu , ARMA menjadi tempat mengeratkan ikatan ukhuwwah dalam pelbagai aktiviti dan program semata -mata untuk memberi kefahaman kepada ahli PMRAM betapa indahnya nilai-nilai Islam yang diterapkan oleh PMRAM bagi setiap aktiviti yang dianjurkan.
 
Seandainya kegemilangan itu dapat dikembalikan maka sudah pasti akan terzahir ukiran senyuman di wajah mereka yang sekian lama memperjuangkan hak PMRAM di ARMA menjadi realiti.
 
Bicara ini bukan sekadar untuk dibaca tetapi untuk kita renungkan seketika apakah benar kita juga berusaha untuk mengembalikan ARMA pada pihak selayakanya
 
Ungkapan ini bukan sekadar dikongsi bahkan dihayati betapa tinggi pengorbanan mereka dalam menjaga wadah kesatuan ini.
 
Untuk apa kita perlu mengingati tarikh keramat ini ? untuk kita kenang kita pernah dizalimi, untuk apa kita menghargai sejarah ? untuk kita tahu nilai sebuah maruah .
 
Seandainya kita benar-benar seorang pendokong PMRAM teruskan berusaha agar doa kita dan usaha akan dirasai oleh generasi akan datang dalam memartabat Islam seterusnya menggemilangkan PMRAM serata dunia .
 
Hayati Sejarah Pertahankan Maruah
 
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN
 
Nur Ahmad Wafiy Noor Azri 
Timbalan Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2013

Ulasan Buku

Realiti Gelombang Aura MAHASISWA & Hak Kita: "ARMA"

Hasil pengkajian sejarah PMRAM yang telah bertapak semenjak tahun 1930 dan telah mencapai 8 dasawarsa, begitu juga ARMA yang mempunyai lakaran sejarah yang tersendiri.

Pembacaan terbaik bagi mencetuskan kembali sensitiviti kemahasiswaan dalam kalangan ahli PMRAM yang kini ia semakin dipandang sepi. Juga terdapat beberapa peristiwa mengenai realiti hak mahasiswa Islam, begitu juga hak PMRAM ke atas ARMA yang sekian lama dinafikan haknya. Ingatlah kerana "JASA MEREKA HAK KITA". Panduan terbaik untuk mengetahui sejarah konflik PMRAM, ARMA dan BKAN-BKAN.

{alt}