
Dunia penulisan dan perterjemahan kitab-kitab para ulama sudah tidak asing lagi bagi warga Perlembahan Nil, bahkan permintaan demi permintaan kepada mereka menyaksikan kelahiran ribuan karya-karya agama yang sarat dengan pelajaran dan pedoman kehidupan.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh PTS Media Group Sdn. Bhd.
“Permintaan bagi buku masakan dan buku agama keluaran PTS mencatat jumlah paling tinggi sehingga menyebabkan buku-buku tersebut diulang cetak beberapa kali”.
Kerancakan penerbitan buku-buku agama di Malaysia memberi impak yang kuat kepada penulis-penulis muda yang berada di Timur Tengah. Kerancakan ini dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penghasilan buku-buku yang memenuhi ruang dan permintaan masyarakat Malaysia.
Sebagai kumpulan penulis yang ingin terus menyumbang sumbangan ilmu kepada msyarakat, etika-etika penulisan dan tatacara yang betul tidak harus dipandang remah agar tulisan yang dihasilkan terus mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada warga pembacanya.
Kekuatan yang ada pada pena warga Timur Tengah ini ialah kesungguhan dalam mengutip mutiara-mutiara yang berharga di bumi gersang ini dan ditambah pula pengalamannya yang luas dalam mencedok asam garam kehidupan di Perlembahan Nil.
Kelebihan-kelebihan ini tidak seharusnya disia-siakan begitu sahaja, bahkan masyarakat amat menantikan kalam-kalam bernas dan segar yang disiram dengan kejernihan iman ini untuk dakapan jiwa mereka.
Tidak dinafikan ada juga yang tersalah memanfaatkan kalam-kalam tersebut dengan menghasilkan bahan-bahan yang yang berkulat seperti contengan-contengan nafsu haram dan monolog-monolog hitam dan busuk seperti di di dinding-dinding Facebook, Twitter dan aplikasi jaringan soscial yang lain.
Gurisan-gurisan ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada kita semua terutama yang gemar membaca. Jika ingin menyaksikan udara yang segar dalam iklim dunia sekarang ini, maka tanggungjawab untuk menyebarkan kebaikan dan pesanan mestilah diletakkan dalam bahu setiap dari kita.
Jangan hanya tanggungjawab menyebar risalah kebaikan ini dipundakkan pada bahu pimpinan dan persatuan sahaja. Jadikan minda kita sebagai minda kesedaran dengan tindakan, jangan jadikan minda kesedaran dengan tolehan kebelakang. Bersedialah untuk menulis manusia dengan pena. Setidak-tidaknya setelah meninggalkan bumi kalam kita masih bernyawa.





