
KAHERAH, 17 Feb 2013 -- Bersempena dengan Hari Kekasih yang disambut oleh segelintir masyarakat, Unit Hisbah di bawah Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM telah melancarkan ‘Ops Mesra’ dengan mensasarkan beberapa kawasan tumpuan mahasiswa mahasiswi Malaysia di Mesir pada 14 Februari baru-baru ini.
Antara kawasan yang menjadi sasaran operasi ialah City Star, Sara’ Mall, Genina Mall, Sun City, dan kawasan Abbas Akkad. Operasi ini juga turut melibatkan semua Unit Hisbah Badan Kebajikan Anak Negeri yang membuat pemantauan pada sebelah malam.
Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih sebagai hari untuk memperingati kekasih bersama pasangan masing-masing. Amalan seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM, saudara Ahmad Baihaki Rashid ketika ditemui melahirkan rasa berpuas hati pada operasi yang dijalankan kerana hampir kesemua tempat yang disasarkan telah menurun kadar kes berbanding sebelum ini. “Ini menunjukkan bahawa mahasiswa mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir sama ada daripada jurusan sains kesihatan mahupun pengajian Islam semakin matang di dalam mengaplikasikan ilmu sejajar dengan kehendak syariat”, ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada semua bkan yang terlibat dalam menjayakan operasi ini.
Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat.