KAHERAH, 31 Januari 2013 – Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir telah menganjurkan Program Satu Hati PMRAM pada 29 Januari baru-baru ini. Ianya merupakan sebuah program kepimpinan yang menggabungkan seluruh barisan pimpinan daripada peringkat PMRAM Pusat dan PMRAM Cawangan.

Program tersebut telah diadakan secara berasingan yang menempatkan seramai 159 orang pimpinan ikhwah di Mukhayyam Daim, dan 108 orang pimpinan akhawat di Nadi Syabab, Musallas.
Antara objektif yang disasarkan ialah menerapkan nilai ukhuwah dan kebersamaan barisan kepimpinan dalam menghadapi tribulasi kerja dakwah, di samping menerapkan kefahaman yang utuh mengenai sejarah, dasar, misi dan visi perjuangan di peringkat masing-masing.
Program yang berlangsung selama sehari bermula seawal 8.30 pagi sehingga jam 10.00 malam menyaksikan komitmen dan kerjasama yang baik daripada setiap peserta.
Pelbagai pengisian menarik telah disediakan antaranya Polisi Pimpinan Islam, Jiwa Kita, Paradigma Jundi dan sebagainya. Para peserta juga telah diberikan kalam motivasi pembakar semangat dalam slot slot Tazkirah Pejuang yang telah disampaikan oleh ikon pekdakwah muda daripada Malaysia, Syed Abdul Kadir al-Jofree.
"Program Satu Hati telah mengikat kesatuan fikrah dan amal ke satu langkah yang lebih baik, ianya juga menjadikan pimpinan PMRAM Cawangan dan PMRAM Pusat lebih dekat, sekaligus menjadi medan latihan minda agar mahasiswa mampu mendepani cabaran yang lebih mencabar di masa hadapan", ujar pengarah Program Satu Hati PMRAM, Saudara Ahmad Qutaibah Bin Mohamed.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Presiden PMRAM, Saudara Abdul Aziz bin Ali sekitar jam 9.40 malam.