
KAHERAH, 21 Jan 2013 -- Seorang pelajar pengajian Islam yang juga merupakan salah seorang pimpinan pelajar Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah ditampar oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar Perak Mesir, Encik Abdul Muhaimin B Abdul Majid pada 19 Januari 2013 baru-baru ini.
Menurut laporan yang diterima, kes ini bermula gara-gara tindakan kurang matang pegawai tersebut yang mengunci pintu Surau Wisma Perak B, tanpa sebarang makluman dan perbincangan. Hal ini disedari apabila beberapa orang pelajar ingin mengadakan mesyuarat di surau tersebut.
Setelah gagal mendapatkan respon positif daripada pihak Hal Ehwal Pelajar Perak Mesir, mereka mencari inisiatif lain untuk membuka pintu tersebut dengan baik. Namun setelah beberapa minit mesyuarat berlansung, secara tiba-tiba pegawai tersebut hadir dan menghalau semua pelajar yang sedang bermesyuarat.
Tindakan demikian membuatkan dua orang pelajar yang merupakan AJKT KPIPM terus berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan penjelasan. Namun apa yang mendukacitakan Pegawai HEP tersebut tidak dapat memberikan sebarang alasan munasabah, bahkan lebih malang apabila beliau mempamerkan akhlak yang kurang baik sebagai seorang pegawai yang sepatutnya menjaga kebajikan pelajar.
Setelah dua pelajar tersebut beredar daripada pejabat HEP Perak, Encik Abdul Muhaimin dengan tergesa-gesa keluar daripada bilik pejabatnya dalam keadaan beremosi lantas memarahi kedua-dua pelajar tersebut. Tidak cukup dengan itu, tanpa sebarang sebab beliau menampar salah seorang daripada pelajar tersebut.
Rentetan daripada itu, Yang Dipertua KPIPM Muhammad Hanif Bin Abdullah telah mengambil tindakan dengan berjumpa Pegawai HEP Perak bagi mendapatkan maklumat terperinci. Dalam perjumpaan tersebut, beliau sendiri(Pegawai HEP Perak) mengakui bahawa beliau sememangnya menampar pelajar tersebut. Namun amat mendukacitakan kerana tiada sebarang permohonan maaf atas kelakuan buruk beliau.
PMRAM amat berdukacita dengan kejadian ini. Amanah sebagai Pegawai Hal Ehwal Pelajar sepatutnya menjaga kebajikan pelajar bukan memburukkan lagi keadaan pelajar, apatah lagi dengan memukul tanpa sebab dan alasan. Mahasiswa bukanlah budak terbiar untuk dihina sedemikian rupa, mahasiswa adalah agen perubah bangsa dan negara. Sedang budak terbiar sekalipun tetap wajib kita menghormatinya.





