“Bukanlah menghadapkan wajahmu kearah timur dan barat itu suatu kebajikan, sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solt, menunaikan zakat, orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah : 177)
Sabar Itu Terpuji
"الصبر” kalimah yang tercatat di dalam al-Quran, malahan terdapat lebih daripada 90 ayat yang menyeru manusia supaya bersabar dan ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang bersabar. Sabar dari sudut istilah, bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, menahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sabar itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat Al-Baihaqi).
Ujian adalah tarbiah dari Allah untuk menguji kekuatan dan keteguhan iman seseorang yang bergelar hamba. Semakin tekun kita beribadat kepada Allah SWT semakin banyak ujian yang bertandang. Bagaimana untuk memanipulasikan ujian itu agar ia menjadi satu medan tarbiyah dan latihan dari Allah SWT?Jawapannya adalah dengan kesabaran. Pelbagai contoh agung yang menceritakan kepada kita bagaimana jiwa terdidik hasil kesabaran dek ujian yang mendatang.
Rasul-rasul ulul ‘azmi adalah contoh agung yang boleh dijadikan panduan dalam menanam sifat sabar dalam segenap kehidupan. Kesabaran Nabi Nuh a.s. selama 950 tahun dalam berdakwah kepada kaumnya. Nabi Ibrahim a.s. terpaksa meninggalkan isteri, Siti Hajar di padang pasir kontang, diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. dan dilontarkan ke dalam api oleh Raja Namrud. Begitu juga Nabi Musa a.s. dalam menghadapi keangkuhan kerajaan Firaun dan Nabi Isa a.s. yang menghadapi mehnah dan tribulasi dari kaumnya. Bagaimana pula episod dakwah Rasulullah SAW, tidak pernah dihamparkan permaidani merah malahan dihamparkan dengan ujian dan dugaan sejak awal kelahiran baginda lagi.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dia (Ya’kub) berkata: “Sebenarnya hanya dirimu sendiri yang memandang baik urusan yang buruk itu. Maka kesabaranku adalah kesabaran yang baik. Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semua kepadaku. Sungguh, Dia Yang Maha Mengetahui , Maha Bijaksana." (Surah Yusuf : 83)
“Fasobrun jamil : maka kesabaranku adalah kesabaran yang baik.” Ungkapan ini telah diungkapkan oleh Nabi Ya’kub a.s. tatkala berhadapan dengan ujian kehilangan 2 orang anaknya Yusuf dan Bunyamin. Apakah rahsia mereka dalam menghadapi setiap ujian yang mendatang? Semua ini adalah melalui sifat kesabaran yang tinggi yang telah tertanam dalam diri masing-masing.
Menurut Imam al-Ghazali, sabar dalam mentaati Allah terbahagi kepada tiga, iaitu sabar ketika hendak memulakannya, semasa mengerjakannya dan selepas mengerjakannya. Sabar itu indah dan yakinlah bahawa setiap nilai kesabaran itu akan diganjari dengan nilaian syurga.
Disediakan oleh,
Nurul Nadhirah binti Aw. Mohd Nor
Naib Setiausaha HEWI PMRAM
(Ketua Unit Pendaftaran HEWI PMRAM 2012)





