
Muslimah merupakan golongan yang diciptakan oleh Allah SWT sebagai sayap kiri kaum Adam menjadi pembantu utama dalam perjuangan Islam. Penciptaan kaum Hawa yang sangat unik, mempunyai fitrah yang lemah lembut, emosinya tidak terjangkau, tiada siapa yang menyangka hikmah disebalik penciptaannya. Muslimah menjadi peniup obor semangat dan pendokong dibelakang seorang tokoh atau mujahid yang bergelar kaum Adam. Peranan muslimah sebenarnya begitu penting dalam membantu perjuangan Islam.
Jika direnungi kalam dari As-Syahid Syed Qutb, beliau menyatakan bahawa “kita akan merasa sempit seandainya kita mengatakan bahawa perjuangan ini kitalah yang memulakan dan mengakhirkannya. Tetapi kita tidak akan merasa sempit apabila kita yakin dan percaya bahawa kita adalah penerus kepada satu-satu perjuangan”.
Perjuangan Islam sebenarnya bukanlah terpundak taklifannya bahu kaum Adam sahaj namun muslimah juga bertanggungjawab menggalas amanah ini bagi memastikan Islam semakin cepat menggapi daulah.
Firman Allah SWT “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat baik dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (surah Al-Taubah :71)
Melihat kepada realiti arus dunia modenisasi dan intelektual hari ini, ia mempamerkan imej masyarakat yang hanyut dan runtuh dibawa arus kealpaan. Pelbagai budaya barat seperti budaya hedonisme, budaya ikhtilat (pergaulan bebas) dan sebagainya begitu menular dalam masyarakat hari ini sehingga peyakit ini sukar untuk dibendung.Oleh itu, kesedaran perlu dibenamkan di dalam diri muslimah supaya muslimah hari ini sedar tentang peranan mereka dalam medan dakwah.
Oleh yang demikian,muslimah perlulah memperlengkapkan diri atau isti’dad (persediaan diri) sebelum terjun ke medan dakwah. Persiapan diri perlu supaya muslimah tidak kaku dan beku ketika berada di medan perjuangan. Justeru, muslimah perlu melunasi beberapa tip yang menjadi pemangkin ke arah pembinaan jati diri muslimah yang berkredibiliti, diantaranya :
1) Ikhlas dalam melaksanakan amal islami
2) Meningkatkan kualiti tarbiah dan ketaqwaan
3) Menampilkan akhlak yang baik
4) Memiliki kekuatan fizikal dan mental
5) Memoptimumkan kualiti kerja
6) meningkatkan kualiti kemahiran
7) Melengkapkan diri dengan thaqafah turathi dan kontemporari
Selain itu, muslimah perlulah berani dalam menyahut cabaran dan berdepan dengan mehnah serta tribulasi dalam perjuangan. Hakikatnya sebuah perjuangan mana mungkin dihamparkan permaidani merah tanpa adanya duri-duri dipertengahannya. Sifat istiqamah juga menjadi kunci utama seorang muslimah supaya kekal di jalan dakwah walau berhadapan dengan seribu satu mehnah dan tribulasi.
Mengimbau kembali perjuangan srikandi seperti Khaulah Bt Al Azwar, Khansa', Nusaibah Bt Ka'ab, Zainab Al Ghazali dan seumpamanya, mereka tidak pernah gentar melawan musuh dan terus istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan Islam. Maka apakah kita sebagai muslimah tidak mampu untuk menjadi seperti mereka?. Jadikanlah srikandi Islam sebagai sumber inspirasi dalam kita meniti jalan dakwah yang beronak duri ini.
Muslimah mampu untuk berperanan dalam medan dakwah. Usah mencari atau mencipta alasan kerana Islam tidak pernah rugi andai kita tidak menyumbang kepada Islam tetapi kita yang rugi kerana kita tidak memberi apa pun sumbangan untuk Islam. Jadikanlah kelembutan itu sebagai kekuatan bagi seorang muslimah untuk menggegar dunia hari ini. Kerana lembutnya air mengalir, sekeras batu berubah pepasir.
Disediakan Oleh,
Atiyqah Bt Yusoff,
Naib Pengerusi Hewi I
(Unit Perancang dan Panitia)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012





