Sat05182013

Last update02:52:41 AM GMT

Russia, China Dan Iran Musuh Umat Islam-Syeikh Qardhawi

  • PDF

Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Syeikh Yusuf Qardhawi dalam khutbah Jumaat pada 12 Oktober dengan lantang bersuara berkaitan isu Syria. Dari atas mimbar masjid dari Doha, Qatar kali ini beliau mengajak umat Islam menyedari peranan utama yang dimainkan oleh negara Russia, China dan Iran yang memberikan sokongan padu kepada rejim Syria hari ini. Syeikh Qardhawi turut melabelkan Russia sebagai "musuh nombor satu bagi umat Islam" dan menyeru dunia Islam memboikot negara tersebut. Berikut disiarkan petikan khutbah Syeikh Qardhawi:

"Saudaraku sekalian, Moscow pada waktu ini merupakan musuh bagi Islam dan umat Islam. Dia menjadi musuh yang pertama bagi umat Islam kerana pendiriannya menentang rakyat Syria. Rakyat Syria yang telah dibunuh lebih 30,000 nyawa. Dengan senjata dari mana mereka dibunuh? Dengan senjata dari Russia."
 
Rejim Russia telah membekalkan senjata kepada askar Syria, bahkan memberikan segala apa yang diperlukan oleh Syria. Dalam tempoh berlaku peperangan, bekalan senjata tiba kepada Syria dari pelbagai arah. Askar Syria mengebom rakyat dengan kapal terbang. Aku tidak tahu, kenapa tidak dihalang serangan kapal terbang ini. Kenapa Majlis Keselamatan (PBB) tidak menghalang serangan udara ini seperti yang dilakukan kepada rejim Libya? Siapa yang mahu menghalang serangan udara yang dilakukan oleh rejim?..Ia bukan pesawat biasa tetapi ia adalah pesawat atau kapal terbang untuk perang! Itulah pesawat milik Russia. 
 
Menjadi kewajipan bagi negara Arab dan Islam bersatu menentang Russia. Wajib bagi kita memboikot Russia. Wajib bagi kita menjadikan Russia sebagai musuh yang utama. Russia yang berada dalam Majlis Keselamatan (kuasa veto) hingga rakyat Syria tidak lagi dibunuh. Mereka (yang berkuasa di PBB) ialah Russia dan China."
 
Syeikh Qardhawi turut menyelar sokongan yang diberikan negara Iran yang dikenali dunia sebagai "Republik Islam" itu. Berikut petikan Syeikh Qardhawi mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan Iran:
 
"Iran membunuh rakyat Syria dengan askar-askar mereka. Mereka membunuh dengan senjata dan kewangan yang dimiliki. Di saat Syria memerlukan kepada jutaan dan jutaan wang untuk kewangan negara mereka, maka Iran telah menghulurkan bantuan kewangan kepada rejim Syria. Iran juga adalah musuh kita! Musuh kepada Arab! Yang membunuh rakyat Syria! 30,000 nyawa yang terbunuh di Syria adalah dibunuh oleh rakyat Iran dan China."
 
Iran cuba berkonfrantasi dengan negara Arab bertujuan membina Empayar Parsi. Tidak! Ia bukan seperti yang diseru oleh Khomeini. Ia juga bukan tujuan mereka bangkit menentang raja Iran yang zalim. Jika tidak, mereka menjadi lebih zalim daripada raja Iran yang digulingkan. Raja (Shah Iran) tidak membunuh rakyat sepertimana (pemerintah) Iran membunuh rakyat Syria hari ini, melalui askar mereka, melalui tentera Hizbullah yang mengutuskan askar mereka ke Syria. Ini semua adalah hakikat
 
Iran dan Russia membunuh kita wahai Arab! Membunuh saudara kita di Syria, menyembelih mereka. Jangan kalian sangka hanya askar Syria keseorangan akan tetapi mereka melakukannya (pembunuhan ke atas rakyat) dengan senjata Russia yang disahkan oleh Iran. 
 
Jadi, musuh kita adalah Russia dan Iran. Rakyat Iran, mereka yang telah mengkhianati risalah mereka (agama Islam), yang membunuh saudara seagama mereka akan tetapi hanya rakyat Syria bukan dari kalangan mazhab mereka. Maka tidak mengapa, dibunuh ribuan malah puluhan ribu mereka itu semata-mata bukan dari mazhab yang sama."
 
Bagi saya, memang jelas apa yang berlaku di Syria adalah penyembelihan Syiah ke atas Sunni. Antara puncanya kerana penganut Syiah 'beriman' dengan kitab muktabar mereka, "Al-Kafi" (yang setaraf kitab Sohih Bukhari di sisi kita) yang ditulis oleh imam mereka, Al-Kulaini sedangkan di dalamnya terdapat lebih 9,000 hadis palsu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Antaranya ialah darah golongan Nasibi (yang ditujukan kepada golongan Sunni) adalah halal dan boleh ditumpahkan. Selagi mana mereka masih berpegang kepada hadis-hadis palsu ini, maka pembunuhan Sunni-Syiah akan terus berlaku, bukan sahaja di Syria bahkan sedang meletus di Iraq, selatan Lubnan, Turki dan sekian lama, di Iran apabila penganut Sunni di'anak tirikan'. 
 
Sementara itu, angka korban terus meningkat melebihi 30,000 apabila setiap hari, purata angka korban mencecah antara 50 hingga 200 orang. Rakyat Syria yang menjadi pelarian pula semakin ramai membanjiri pintu sempadan Lubnan, Jordan dan Turki. Kerajaan Jordan telah mengumumkan pihaknya telah menutup bagi kemasukan pelarian Syria ke negara berkenaan.
 
Di negara Turki sahaja, akhbar negara tersebut, "As-Sobah" melaporkan 13,000 orang warga Syria waktu ini sedang menunggu 'lampu hijau' bagi memasuki sempadan negara itu sedangkan telah terdapat lebih 100,000 pelarian Syria di sempadan Turki
 
Sumber negara Turki melaporkan, sempadan negara itu hanya dapat menampung 400,000 orang pelarian, selewat-lewatnya Jun 2013. Sebelum itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan rakyat Syria yang akan melarikan diri ke Turki seramai 700,000 orang menjelang akhir tahun ini dan jumlahnya akan mencecah 1.5 juta orang menjelang Jun 2013. Sebelum ini, Menteri Kewangan Turki, Mehmet Simsek berkata, negara tersebut telah membelanjakan 400 juta Lira Turki bagi membantu pelarian Syria termasuk menyediakan khemah buat mereka
 
Muhammad Abdul Malik Abdul Karim,
Penasihat,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, PMRAM 2012

Ulasan Buku

Realiti Gelombang Aura MAHASISWA & Hak Kita: "ARMA"

Hasil pengkajian sejarah PMRAM yang telah bertapak semenjak tahun 1930 dan telah mencapai 8 dasawarsa, begitu juga ARMA yang mempunyai lakaran sejarah yang tersendiri.

Pembacaan terbaik bagi mencetuskan kembali sensitiviti kemahasiswaan dalam kalangan ahli PMRAM yang kini ia semakin dipandang sepi. Juga terdapat beberapa peristiwa mengenai realiti hak mahasiswa Islam, begitu juga hak PMRAM ke atas ARMA yang sekian lama dinafikan haknya. Ingatlah kerana "JASA MEREKA HAK KITA". Panduan terbaik untuk mengetahui sejarah konflik PMRAM, ARMA dan BKAN-BKAN.

{alt}