Gerak langkah pertempuran di medan peperangan penuh dengan perancangan dan strategi untuk menewaskan pihak musuh. Di sebalik keberanian dalam berjuang kefahaman untuk membezakan realiti sebenar akidah perjuangan perlu selari dengan syariat Islam.
Konstantinopel & ARMA : Dua Dimensi Satu Perjuangan
Tarikh 29 Mei 1453 menjadikan satu peristiwa agung dalam lembaran sejarah Islam apabila seorang pahlawan muda dengan sumber kekuatan anggaran 250 000 orang ketumbukan mujahid Islam di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membuka Kota Konstantinopel. Pembukaan kota peradaban terbesar Kristian di Eropah ketika itu sekaligus membenarkan janji Nabi Muhammad SAW di dalam hadis yang diriwayatkan hampir 800 tahun sebelum itu.
Kejayaan agung Sultan Muhammad Al-Fateh ini merupakan gabungan aspirasi dengan janaan berlandaskan semangat dari para ulama, serta perancangan yang rapi berasaskan pengkajian sejarah yang mendalam, konsep setiakawan yang jitu, pemilihan strategi ketenteraan yang sesuai pada waktunya dan keyakinan yang luar biasa kepada pertolongan Allah SWT.
Kejatuhan kota ini telah membuka mata dunia bahawa perjuangan berbekalkan kesabaran dalam menempuh setiap percaturan bakal menatijahkan satu impak yang cukup besar. Beberapa percubaan telah dilakukan untuk menawan kota tersebut yang disebutkan sebanyak 12 kali percubaan namun menemui jalan buntu.
Namun begitu segala usaha terus digandakan, akal dan minda ligat menyusun stratergi tanpa terlintas sekelumit keluhan dan jemu untuk terus berusaha.
Perjalanan sejarah agung ini juga telah membuktikan bahawa pasukan Sultan Muhammad al-Fateh tiba di Kota Konstantinopel pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857 H atau 6 April 1453 M. Di hadapan tenteranya, Sultan Muhammad al-Fateh berkhutbah mengingatkan tentang kelebihan jihad, akidah perjuangan dengan niat ikhlas dan harapan kemenangan kerana Allah SWT.
Peristiwa sejarah ini akan terus segar di benak ingatan umat Islam dari dahulu sehingga kini kerana ia merupakan perintis kesatuan umat Islam kembali digemilangkan dengan kerjasama dan usaha daripada generasi terdahulu.
Oleh kerana demikian, iktibar kisah pembukaan Kota Konstantinopel dirakamkan bersama sejarah PMRAM yang kini hampir 20 tahun terus berusaha mendapatkan semula haknya di ARMA. Pelbagai usaha telah direncanakan oleh PMRAM sehingga diwarisi setiap legasi kepimpinan yang bertukar ganti.
Perjuangan PMRAM tidaklah untuk menguasai sebuah kota seperti Kota Konstantinopel tetapi ingin menuntut kembali sebuah pejabat pentadbiran PMRAM di ARMA suatu ketika dahulu. Selama 20 tahun PMRAM berkelana di bumi asing seakan hilang tempat berteduh di daerah sendiri.
ARMA satu ketika dahulu menjadi simbul kesatuan anak Melayu kerana pengorbanan dan perjuangan dalam mendapatkan sebidang tanah memerlukan segala keringat tanpa dihitung nilai harga yang perlu dibayar. Kegetiran dan kepayahan ditelan bersama sehingga mampu mengukir senyuman biarpun merangkak dalam bebanan kesukaran.
PMRAM ( dahulu dikenali dengan PMM ) terus melebarkan usaha mencari sumber dana kewangan untuk membina sebuah asrama untuk kebajikan anak Melayu ketika itu. Di sebalik keindahan ARMA yang kini tersergam indah, pelbagai keperitan yang akhirnya menatijahkan kesatuan dan hasil dirasai bersama anak-anak Melayu.
Seumpama pepatah melayu "berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" ini benar-benar membuktikan keindahan bahawa metodologi mencapai kesenangan bermula dengan pelbagai variasi kesusahan dan kepayahan yang akhirnya menatijahkan seribu kebaikan bersama.
Sehingga kini doa dan harapan PMRAM untuk kembali ke ARMA tidak pernah pudar bahkan keyakinan semakin bertambah bahawa satu masa dan ketika PMRAM pasti kembali di ARMA. Jika Sultan Muhammad al-Fateh mampu bersabar untuk membuka Kota Konstantinopel tidak mustahil kesabaran PMRAM selama 20 tahun ini juga bisa dibayar dengan sekembalinya PMRAM di ARMA.
Andai generasi dahulu mampu berusaha untuk mendapatkan sebuah asrama mana mungkin kita tidak mampu untuk mendapatkan semula sebuah pejabat yang tertulis dalam perjanjian undang-undang Asrama Rumah Melayu tahun 1981 bahawa pejabat tersebut milik PMRAM.
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
(Lajnah Perancang & Panitia)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012





