|
Alhamdulillah, puji dan syukur hanya layak buat Allah SWT. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, amma ba’du. Syawal 1430 hijrah hadir menyeri sebuah kemenangan. Ia meninggalkan Ramadhan, bulan keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Jika Ramadhan diiktiraf sebagai penghulu sekelian bulan dan setiap amalan digandakan sepuluh kali ganda maka syawal pula diangkat tarafnya sebagaimana Sya’aban yang menjadi pengapit kepada bulan rahmat dan kemuliaan. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis sahih sebagaimana dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab Sahihnya dan ashab sunan yang empat bermaksud,
Daripada Abi Ayub Al-Ansari RA, Nabi Sallallahualaihi Wasallam bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, adalah puasanya seperti puasa seumur hidup (dahri)”
Melalui hadis ini, kebanyakan para fuqaha’ seperti Al-Syafie, Ahmad, Ibnu Mubarak dan Ishak sepakat berkenaan dengan sunat puasa enam dalam bulan syawal tetapi khilaf dalam masalah penetapan cara puasa kepada tiga pandangan:
1. Sunat puasa pada awal Syawal selepas hari raya secara berturut-turut. Ini adalah pandangan Al-syafei dan Ibnu Mubarak. 2. Tidak membezakan diantara puasa berturut-turut atau terpisah-pisah pada bulan syawal. Ini adalah pandangan Ahmad dan Waki’. 3. Dikira sunat puasa tiga hari sebelum hari putih (13,14,15) dan pada hari putih atau selepas hari putih. Ini adalah pandangan Ma’mar dan Abdul Razak.
Berdasarkan ketiga-tiga pandangan tersebut adalah menjadi keharusan umat Islam untuk menggunakan mana-mana pilihan yang ada mengikut kemampuan. Sepakat kebanyakan ulama’ berkenaan dengan sunat (mustahab) berpuasa pada bulan Syawal dan khilaf pada cara pelaksanaan memberi ruang untuk umat Islam memilih mana-mana pandangan kerana ketiga-tiga pendapat fuqaha’ di atas masih dalam ruang kefahaman umum hadis sahih tersebut.
Walaubagaimana pun bersegera untuk menyempurnakan puasa syawal adalah lebih baik sebagaimana kefahaman umum firman Allah subhanahu Wata’ala:
“Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringiku tidak jauh dari sini; dan Aku segera datang kepada-Mu wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akanku". (Surah Thoha:ayat 84)
Syawal juga adalah manifestasi syukur hamba kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan kurniaan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka pada bulan Ramadhan. Ia adalah bulan kembalinya manusia kepada fitrah setelah sebulan mujahadah puasa.
Justeru saya ingin membuat seruan agar sama-sama kita panjatkan syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah subhanahu Wata’ala atas nikmat yang besar ini. Syawal adalah keraian suatu kemenangan dan kita disunatkan membesarkan Allah bersyukur kepada-Nya di atas upaya kemenangan fizikal dan spiritual ini sebagaimana Firman-Nya:
Maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (surah Al-Baqarah: ayat 185)
Akhirnya barangkali saya dan sahabat sekelian berhak menaruh harapan agar kita akan bertemu lagi Ramdhan akan dating dan akan juga meraikan kemenangan Syawal untuk kali keseterusnya. Walaubagaimana pun segalanya telah diatur Tuhan. Sangka baik kita pada Allah perlu sentiasa kemas dijiwa bahawa munajat kita dibulan Ramadhan telah diterima dan azamlah pada diri untuk tidak akan lagi mengulangi kesilapan. Sentiasalah dalam munajat istighfar kerana Allah Maha Pengampun.
Sempena Syawal kali ini juga barangkali tidak salah jika saya katakana ia adalah bulan ziarah dan saling bermaafan. Ia seakan adat yang tidak salah jika diamalkan. Sebagaimana kita mahu kembali kepada fitrah suci dari dosa pada bulan syawal ini, begitu jugalah kita seharusnya memastikan agar ukhuwah sesame kita juga sifar daripada dosa sesame kita.
Pastinya di sana ada hati yang terluka dek tingkah kita, ada barang yang terguna kerana mudah-mudah kita dalam social dan banyak lagi. Semuanya perlu diselesaikan dan kehadiran syawal diharap membuang jauh-jauh ego dan malu kita untuk satu perkataan iaitu MAAF. Sekalipun kita tidak beri’tikad bahawa hanya Syawal bulan bermaafan tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi satu resam yang mengingatkan kita bahwa pada bulan fitrah ini seharusnya kita luangkan masa bertemu antara kita dan saling bermaafan.
Justeru KPKM telah mengadakan hari terbuka bertujuan mengumpulkan seluruh ahli pada hari pertama Aidil fitri dan sambutan jika diukur pada kehadiran adalah amat memuaskan. Sekitar 350 ke 450 orang jika dibuat bancian pada jumlah makanan yang disediakan. Jamuan pada saya hanyalah wasilah. Apa yang penting adalah pertemuan, tajdid ikatan ukhuwah sesama kita dan ia adalah wadah untuk anak-anak Kelantan untuk merasai suasana berhari raya dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran.
PMRAM pula akan mengadakan hari terbuka mengumpulkan seluruh anak-anak Malaysia di bumi Mesir ini pada hari raya ke 9 dan saya sekali lagi menyeru dalam konteks yang lebih besar agar kita dapat sama-sama bertemu di sana. Penyatuan ini adalah manifestasi hubungan ukhuwah dan kesatuan anak-anak Malaysia. Hadirlah kerana KPKM adalah PMRAM dan KITA semua tentunya PMRAM.
Akhirnya, saya mewakili seluruh pimpinan KPKM mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada seluruh ahli. Atas amanah besar ini kami pohonkan bantuan untuk sama-sama gerakkan KPKM atas nama kesatuan dan kebajikan. Pohon maaf atas sebarang kekurangan.
Salam aidil Fitri, maaf zahir dan batin.
“JULANG THAQAFAH BAKTI DICURAH”
“BELAJAR DAN BERAMAL”
MUHAMMAD NAJID ABDULLAH Yang Dipertua KPKM 2009/2010
1 Syawal 1430 H / 20 September 2009
|