| Aidiladha Peringkat PMRAM Disambut Meriah, Sederhana |
|
|
|
|
8 Disember-Sambutan Hari Raya Aidiladha peringkat PMRAM tahun ini disambut meriah tapi penuh sederhana. Sambutan bermula pada hari ini dengan solat sunat Aidiladha yang diadakan di Masjid Musa Ibnu Nusair yang dihadiri lebih 200 orang hadirin. Para hadirin yang datang termasuk dari pelajar perubatan dan mereka yang berada di muhafazah telah memenuhi dewan solat masjid bermula jam 7.30 pagi dengan bersama-sama bertakbir. Tepat jam 8 pagi, para hadirin telah menunaikan solat Aidiladha dengan diimami oleh Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM, Ustaz Mohd Azrul Ismail manakala Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail pula menyampaikan khutbah. Turut hadir menunaikan solat sunat tersebut Timbalan Presiden, Ustaz Abdul Mu'izz Muhammad, Ketua Lembaga Penasihat PMRAM, Ustaz Fakerei Mahyudin, anggota Badan Pengurus serta AJKT HEWI PMRAM. Sementara itu, sejurus selesai khutbah Aidiladha, pada hari ini telah berlangsung majlis korban di beberapa buah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) termasuk di Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPM). Tradisi kunjung-mengunjung terus menjadi budaya setiap kali menjelangnya hari yang mulia ini. Selain dapat mengeratkan ukhuwah, ia sebagai peluang bagi mereka yang telah lama tidak bertemu dan bertanya khabar. Sementara itu, pada sebelah petang, Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail serta anggota Badan Pengurus PMRAM telah memenuhi jemputan ke majlis di Rumah Kedah, Hayyul Asyir. Ketibaan beliau bersama rombongan disambut oleh AJKT Majlis Keluarga Kebajikan Kedah (MKKK) dan Yang Dipertuanya, Ustaz Abu Bakar Razak. Pada sebelah malam, Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) pula mengadakan majlis serupa yang diadakan di Rumah Terengganu, Hayyul 'Asyir. Selain Presiden PMRAM, turut hadir Naib Presiden III, Ustaz Khusaini Md.Yusof, Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim dan Ketua Badan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan, Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh. Turut kelihatan Yang Dipertua KPT, Ustaz Mohd Shafizi Ismail. Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) juga turut mengadakan majlis yang dinamakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha (SAHARA). Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar Ismail dan anggota Badan Pengurus PMRAM lain telah menikmati hidangan bersama Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Selangor, Ustaz Abdul Halim Saljadi. Turut hadir Pegawai Pembantu Kewangan MAIS, En.Daud Jamil serta Yang Dipertua BKASM, Ustaz Abdul Aziz Akhimullah Roslan. Sementara bagi DPM, Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur (DPMD) juga telah mengadakan Haflah Edul Adha di Dewan Huda, markaz DPMD. Esok dijangka beberapa lagi BKAN dan DPM akan mengadakan rumah terbuka semepana Aidiladha. |